Lata Hammer, Bentong Pahang.

Assalamualaikum semua pembaca yang budiman, Terima Sudi singgah di Blog ini.


Ekspidisi Ke Lata Hammer.

Ketandusan lokasi memancing yang bebas di sekitar lembah kelang ini menjadikan pemancing terpaksa lari mencari lokasi memancing yang baik walaupun jauh . Latta Hammer yang terletak di Bentong Pahang boleh dikunjungi dengan menyusuri Highway Karak ataupun menggunakan jalan lama dari hulu yam terus menuju ke janda baik seterusnya kelokasi Air Terjun Latta Hamer.
Dalam ekspedisi ini kumpulan kami seramai 8 orang menjejaki denai ke Lokasi air terjun ini yang mana di maklumkan oleh sahabat lain lokasi ini banyak di dominasi Spesis tengas mega dan juga kelah. Kami memulakan perjalanan se awal jam 4 pagi dari Kuala Lumpur terus menuju ke Pekan Bentong untuk bersarapan dan solat subuh. Seawal jam 6.30pagi kami memulakan perjalanan yang mengambil masa 1 jam mendaki dalam kecerunan 20 darjah. Konsep bergerak awal ini adalah bagi memastikan kumpulan kami tiba lebih awal dari kumpulan lain kerana lokasi ini kebiasaanya akan penuh pada hujung minggu oleh pengemar pengemar hutan dan perkelahan.
Peralatan.







Perkara utama yang di titik beratkan oleh ketua adalah soal keselamatan. Kami melalui laluan yang mempunyai risiko agak tinggi kerana kecuraman tebing dan rimbunan pucuk paku hutan melitupi laluan kami. Dalam keadaan samar pagi sudah pasti jarak penglihatan terbastas dan dikhuatiri gangguan dari binatang berbisa seperti ular boleh mengganggu perjalanan ekspedisi kami. Senjata parang sentiasa di sematkan di pinggang bagi menjaga keselamatan diri. Beg, makanan dan juga kelengkapan perubatan perlu dibawa sekiranya aktiviti sebegini dibuat. Selepas melalui denai yang banyak halangan, pada penghujung trek, kami terpaksa menuruni curam pada 80 darjah kecuraman tebing. Ianya amat memerlukan ketahanan fizikal kerana dengan bebanan beg dan juga peralatan sudah tentu jika tersilap langkah kita akan terjatuh ke gaung.
Air Terjun Lata Hammer.











Spesis tengas sememangnya dikenali sebaris dengan spesis kelah kerana lariannya yang padu akan membuatkan pemancing tersentak ketika spesis ini menjamah umpan. Air terjun ini juga sememangnya dikenali oleh pemancing dengan hasil tangkapan mega. Kedudukan Air terjun ini kelihatan menjadi lembah terhadap hutan dikawasan ini kerana sekelilingnya di litupi kawasan berbukit. Udaranya yang nyaman dan sejuk serta kicauan ungas sudah tentu menerujakan ketika pertama kali sampai kesini. Berbekalkan umpan cengkerik yang dibeli awal awal lagi pada harga RM1 30ekor kami menggunakan matakail kecil dan menggunakan batu ladung bersaiz 5 dan 6 dan melontarkan ke kawasan lubuk air tejun. Pusaran air di dasar dan reba reba kayu yang hanyut masuk kedalam lubuk menjadikan spesis ini selesa membuat sarang dikawasan ini. Tapi beberapa kali ragutan di akhiri dengan larian kedalam kayu dan spesis ini Berjaya melepaskan diri dan pemancing terpaksa memutuskan tali kerana tersangkut. Bayangkanlah sekali tersangkut kami terpaksa mengikat swivel dan matakail baru. Satu batu ladung bersaiz 5 80 sen. Swivel 30sen, matakail 10sen. Jumlah sekali tukar RM1.20. sekiranya 10 kali putus?. Memang inilah risiko dan adat memancing di kawasan pergunungan. Kalau kita bijak mangawal larian atau memancing di lokasi yang tepat perkara ini dapat di elakkan supaya ianya tidak berlaku berulang kali. “Asyik sangkut jer” kata Indra, kami menukar lokasi memancing di alur sungai mudik kehilir. Jeram jeram yang dalam deras adalah lokasi yang baik di diami oleh spesis kelah dan tengas ini. Teknik bersembunyi ketika memancing adalah amat praktikal bagi tidak menakutkan mangsa yang agak sensitive pada kehadiran manusia. Pakaian juga memainkan peranan dalam menentukan ekspidisi ini Berjaya. Pakaian tidak boleh terlalu cerah dan bewarna terang kerana kehadiran manusia ini mudah dikesan oleh ikan. Sebaiknya pakaian mempengaruhi warna asas sekeliling sepeti hutan ataupun batuan harus dipakai untuk menjerat mangsa.





















Tengas Mega Latta Hammer.

Teknik melontar umpan ke bawah celahan batu air deras telah berjaya memikat se ekor tengas berskala 500gram. Ridzuan yang ketika itu menggunakan umpan cengkerik yang dicangguk melalui kepala menembusi ekornya menyentap kuat mengangkat mangsa keluar dari tempat persembunyiannya kerana bimbang batu batu tajam mampu memutuskan tali perambut 20 paun yang digunakan. Ridzuan memancing secara menghendap lebih awal melihat kelibat ikan tengas tersebut dan teruskan melontar umpan kelubuknya. Sekiranya mangsa bermain di situ ianya tidak mengambil masa yang lama untuk meragut umpan. Reel bersaiz 2500 kebawah dan joran berkekuatan 8 hingga 12 paun memadai digunakan semasa memancing di pergunungan ini. Joran yang lembut akan memberikan lebih kepuasan ketika kita bertarungan dengan spesis yang sangat kuat ini. Spesis ini mampu meredah arus laju dengan cara kelebihan yang ada pada badanya yang berbentuk torpedo.
Hujan lebat.
Pada sesi petang hujan turun dengan lebat dan mengeruhkan air serta menjadikan air semakin deras. Kami menghentikan aktiviti memancing kerana bimbang kepala air akan turun pada bila bila masa.
Aktiviti memasak dan mendirikan khemah sahaja yang boleh di lakukan ketika ini. Peralatan ringkas dan makanan asas seperti beras, sardin, dan telur sahaja menjadi hidangan kami. Ini bagi tidak membebankan beg yang kami galas ketika meredah perjalanan kesini. Serbuk belerang juga di tabur dikawasan tapak perkhemahan bagi menghindarkan spesis binatang berbisa mendekati tapak perkhemahan. Hujan sehingga ke malam membataskan aktiviti memancing dan kami menghabiskan masa dengan berborak dan meneliti lokasi yang perlu di terjah pada hari eok sama ada menyusuri kehulu atau kehilir sungai untuk mencari tangkapan terbaik.
Awal Pagi.
Kedinginan suasana pagi di lembah air terjun Lata Hammer membuatkan tidur kami mengigil akibat kesejukan apatahlagi ditambah dengan hujan. Kami mengambil keputusan untuk meredah laluan ke hulu sungai pada awal pagi tersebut. Hanya 4 orang sahaja yang berminat untuk naik ke hulu kerana umpan cengkerik yang dibawa 240 ekor hampir kehabisan. Laluannya semakin sukar kerana tidak ramai melalui susur ini menyebabkan guide hadapan terpaksa mencantas rimbunan ranting dan pokok bagi membuat laluan baru. Kami menemui satu jeram yang besar dan mempunyai arus yang deras. Ketika itu warna air semakin pulih akibat hujan malam tadi. Kami mencari posisi yang baik dan umpan di lontar di sekitar jeram bagi menjerat mangsa. Tidak menunggu masa yang lama. Saya mendapat strike kasar dan mangsa cuba melarikan diri kecelahan batu besar yang menjadi tempat persembunyian spesis ini. Beberapa ekor lagi spesis tengas batang berjaya di daratkan di sekitar jeram yang agak luas ini. Diet yang terbaik bagi mendaratkan spesis ini adalah berrumpankan cengkerik selain perut ayam rebus.
Perjalanan pulang.
Setelah selesai aktiviti memancing kami bergerak pulang sebelum matahari tegak di atas kepala. Barang barang dikemaskan dan pendakian kecuraman dati tebing ke lembah mencecah 80 darjah sememangnya memenatkan. Namun perjalanan menuruni laluan hutan ke tempat perking kenderaan semakin mudah kerana laluannya yang landai dan menuruni bukit menjadikan perjalanan pulang ke tapak utama hanya mengambil masa 30 minit sahaja.


INFO IKAN TENGAS :-
Ikan Tengas atau dalam bahasa saintifiknya Copper mahseer (Neolissochilus hexagonolepis, dulu Acrossocheilus hexagonolepsis) juga dikenali sebagai Ikan Kejor adalah spesis ikan air tawar yang tergolong dalam famili Ikan Kap. Ikan-ikan dari genus ini boleh didapati di air yang mengalir laju dan jernih airnya dan biasa ditemui di kawasan sungai berbatu di kawasan tanah tinggi. Secara amnya, ikan tengas ini adalah dari jenis omnivor yang memakan haiwan-haiwan kecil, alga dan tumbuhan-tumbuhan air tawar.
Namun begitu di Malaysia Ikan tengas dari spesies (Neolissochilus soroides) lebih mudah ditemui di kawasan hulu sungai air tawar yang jernih, berbatu dan terletak dikawasan jeram yang tinggi di Semenanjung Malaysia. Ia pernah dilaporkan mudah ditemui di hulu-hulu sungai di Pulau Pinang, Langkawi, Pahang, Terengganu dan Kedah
Ikan tengas spesies ini kelihatan agak mirip dengan Ikan Kelah (Tor tambroides), satu lagi spesies ikan air tawar yang amat terkenal di Malaysia. namun kedua-dua ikan ini dapat dibezakan dengan struktur cuping median yang terletak di bibir bawah ikan yang ada pada ikan kelah namun tiada pada ikan tengas, ini membuatkan seakan-akan ikan tengas kelihatan tiada atau sedikit bibir bawahnya.
Harga ikan tengas adalah agak mahal kerana, menangkapnya sukar utuk dilakukan kerana secara semulajadinya ia hanya boleh didapati melalui kaedah pengkapan secara tradisional menggunakan jala atau joran di hulu sungai yang berair jernih, sejuk, berbatu dan berjeram yang nun jauh ke dalam hutan. Tidak ramai pengusaha yang menternak ikan tengas secara serius untuk penjualan di pasaran terbuka. Ikan tengas juga lebih sedap dimasak pekasam.

Kos Trip 2 hari 1 Malam untuk 8 Orang :
Minyak kereta Kuala Lumpur - Lata Hammer : 2 kereta 4 orang = RM80
Tol Pergi dan balik : RM 18
Umpan : RM8
Makanan : RM20 Seorang
Jumlah Seorang : RM35.50

Comments

Post a Comment